Hot!

Chong Wei idam 
All England keempat



KUALA LUMPUR – Dijangka membuat penampilan terakhir di All England, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan berusaha untuk menutup kariernya dalam kejohanan badminton tertua di dunia itu dengan merangkul kejuaraan keempat.
Biarpun pernah dinobat sebagai juara tiga kali pada 2010, 2011 dan 2014, namun Chong Wei mengakui, perasaannya kali ini sedikit berbeza kerana All England 2016, yang bakal membuka tirai hari ini mungkin saingan terakhir buat dirinya.
Begitupun dia menganggap kejohanan kali ini jauh lebih sukar kerana semua pemain pasti mahu menampilkan aksi luar biasa bagi mengutip mata untuk mencari tempat di Sukan Olimpik.
“Saya tahu semua orang mahu kalahkan saya tetapi saya sudah buat persiapan, terutama daripada segi mental kerana ini kejohanan Siri Super pertama tahun ini.
“Perasaan kali ini lain sedikit sebab ini kejohanan besar dan tahun lepas saya tidak dapat beraksi di sini, jadi saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.
Turut menggalas cabaran perseorangan negara dalam All England kali ini adalah Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli, yang akan bermula daripada pusingan kelayakan bersama perseorangan wanita, Tee Jing Yi serta Lydia Cheah.
Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kean Keat-Tan Boon Heong pula menggalas cabaran beregu lelaki, manakala Vivian Hoo-Woon Khe Wei dalam beregu wanita dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying beregu campuran.
Sementara itu, Wei Feng yang cedera ringan di lutut mengakui, laluannya agak sukar, apatah lagi dia perlu beraksi dari pusingan kelayakan.
“Jika berjaya melepasi pusingan kelayakan, saya akan berdepan Chen Long seawal pusingan pertama,” kata Wei Feng.
Chong Wei menerima laluan agak mudah dan dijangka berdepan pilihan keempat dari Jepun, Kento Momota di separuh akhir.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/chong-wei-idam-8232-all-england-keempat-1.198152#sthash.8FKYTYhP.dpuf

0 comments:

Post a Comment