Piala Sultan Selangor Kembali
PIALA berprestij, Piala Sultan Selangor yang menampilkan aksi daripada seteru lama Selangor dan Singapura akan kembali menemui peminat di Stadium Shah Alam, 7 Mei depan.
Pengerusi Piala Sultan Selangor 2016, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, penganjuran kali ini lebih bermakna selepas perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan tahun lalu berikutan masalah jerebu.
“Ramai orang menunggu saat ini lebih-lebih lagi apabila Singapura tidak lagi bermain dalam Liga Super. Jadi pertembungan dua gergasi ini amat dinanti-nantikan oleh semua.
“Kami juga menjangkakan, Singapura sudah tentu mahu membawa pulang Piala Sultan Selangor selepas kali terakhir mereka bergelar juara pada 2011,” katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Piala Sultan Selangor 2016, semalam.
Menurutnya, format perlawanan masih seperti edisi sebelumnya dengan Veteran Selangor akan menentang Veteran Singapura dan Pilihan Selangor akan berhadapan dengan Pilihan Singapura.
Katanya lagi, beliau mengharapkan peminat dapat hadir memenuhi stadium untuk memberikan sokongan selain penganjur turut menyediakan pelbagai acara seperti pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah khas kepada peminat.
“Kami menjangkakan stadium akan penuh kerana penyokong dari kedua-dua pasukan akan datang menyaksikan perlawanan ini yang amat merindui aksi antara kedua-dua pasukan.
“Kita juga akan memberikan tiket percuma yang akan diagihkan kepada pelajar sekolah sekitar Selangor,” katanya.
Sementara itu, Abd Karim optimis Selangor mampu mempertahankan kejuaraan itu buat kali ketujuh selepas mencatat kemenangan pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, dan 2013.
-Sinar Harian

0 comments:
Post a Comment