Letih Bukan Alasan
KUALA LUMPUR – Biarpun menghadapi jadual perlawanan yang padat, namun pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan tidak mahu menggunakan keletihan pemain sebagai alasan sekiranya pasukannya gagal mengutip sebarang mata bagi menghadapi Tampines Rovers dalam aksi Kumpulan E Piala AFC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.
Selangor yang tersingkir dalam pusingan ketiga Piala FA kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu hanya memiliki dua hari untuk melakukan persiapan menghadapi kelab dari Singapura itu, namun Zainal menegaskan kepenatan pemain tidak boleh dijadikan alasan.
Bagi Zainal ini adalah masa yang sesuai untuk skuad kendaliannya bangkit selepas tersingkir daripada Piala FA dan berharap bermain di laman sendiri mampu membawa tuah.
“Kami memang teruja untuk beraksi esok (hari ini) dan kami perlu mengambil kesempatan dengan beraksi di gelanggang sendiri untuk dapatkan tiga mata penuh atau setidak-tidaknya satu mata.
“Adalah mustahak untuk kami melupakan kekalahan Piala FA. Pemain sudah melakukan yang terbaik walaupun dengan keadaan yang terhad tapi untuk perlawanan esok kami ada misi yang perlu dilakukan.
“Saya tidak boleh bagi alasan macam itu (kepenatan) apa yang penting pemain saya perlu bersedia dan saya kena sediakan pemain yang cergas,” katanya.
Tambah Zainal, pertahanan, Robert Cornthwaite tidak boleh diturunkan kerana cedera begitu juga penyerang, Ahmad Hazwan Bakri. Andik Vermansyah pula bakal diturunkan pada malam ini.
Sementara itu, pengendali Tampines Rovers, V. Sundramoorthy mengakui beraksi menentang Selangor di gelanggang lawan bukan perkara yang mudah, namun pasukannya tekad untuk membawa pulang tiga mata penuh.
“Sudah menjadi harapan jurulatih untuk memenangi setiap perlawanan bagi mengutip mata.
“Bagaimanapun beraksi menentang Selangor bukan satu perkara mudah,” katanya.
Dalam aksi pembukaan, Tampines membelasah kelab Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi 4-0 di laman sendiri.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/keletihan-bukan-alasan-1.198231#sthash.OAJwFx1R.dpuf

0 comments:
Post a Comment