Kafa arah Devan sedia laporan prestasi terkini
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengarahkan K Devan mengemukakan laporan prestasi terkini skuad yang terkenal jolokan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.
Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, jawatankuasa pengurusan yang bermesyuarat semalam mahu Ketua Jurulatih Kelantan itu membentangkan laporan lengkap selepas pasukan itu bergelut dengan prestasi tidak menentu, ketika ini.
“Mesyuarat jawatankuasa pengurusan Kafa hanya lebih tertumpu pada penilaian prestasi semasa pasukan Kelantan lebih-lebih lagi selepas terkeluar saingan Piala FA.
“Kita bersetuju meminta ketua jurulatih itu sediakan laporan dan dalam masa terdekat kita akan panggil beliau berbincang lebih lanjut berhubung perkara ini,” katanya semalam.
Katanya, laporan itu penting bagi membolehkan pengurusan tertinggi Kafa melakukan penambahbaikan bagi memastikan Kelantan kembali ke landasan sebenar.
“Kita mahu dengar pandangan dia (Devan) sendiri, mungkin ada input-input yang boleh kita ambil tindakan. Hasil laporan itu juga, kita akan rumuskan bentuk tindakan yang boleh dilakukan untuk tingkatkan prestasi pasukan,” katanya.
Afandi turut mengesahkan masa depan pengendali berusia 54 tahun itu dan status pemain import bersama skuad pantai timur itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat.
“Tak ada....kita tak ada bincang (mengenai Devan) langsung perkara itu. Apa yang lebih penting sekarang ialah kita perlu fokus bagaimana mahu memperbaiki prestasi pasukan, itu sahaja,” katanya.

0 comments:
Post a Comment